Monday, June 28, 2010

TUMEC Giat Pulihara Penyu


Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC) Rantau Abang, Terengganu adalah agensi di bawah Jabatan Perikanan yang bertanggungjawab melaksanakan aktiviti penyelidikan Penyu di Semenanjung Malaysia.

Di kalangan negara ASEAN, Malaysia telah dilantik sebagai negara peneraju dalam pengurusan dan pemuliharaan penyu.

Menurut Pegawai Projek Penyelidikan Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC), Rantau Abang, Dungun, Terengganu, Syed Abdullah Syed Abdul Kadir, terdapat banyak aktiviti penyelidikan yang telah dijalankan oleh TUMEC.

Katanya, tujuan penyelidikan tersebut adalah untuk menstabil dan meningkatkan populasi penyu di Malaysia melalui dua pendekatan iaitu mengurangkan kematian penyu pada pelbagai peringkat hidup.

''Ia juga bertujuan untuk menghasilkan jumlah anak penyu yang maksimum untuk dilepaskan ke laut,'' katanya.

Berikut merupakan beberapa kajian yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Malaysia atau TUMEC.

Kajian Pengurusan Pusat Penetasan Penyu

Terdapat 15 pusat penetasan penyu di negara ini iaitu Mak Kepit, Ma' Daerah, Rhu Sepuluh, Pulau Perhentian, Rantau Abang, Geliga (Terengganu), Cherating dan Pulau Tioman (Pahang), Padang Kemunting (Melaka), Segari (Perak), dan Pantai Kerachut (Pulau Pinang) dan Air Papan, Pulau Tinggi (Johor), Pulau Penyu (Sabah) dan Pulau Talang-Talang (Sarawak).

Kajian Pengurusan Pusat Penetasan Penyu adalah satu aktiviti kajian yang berterusan yang dijalankan di setiap pusat tersebut di Semenanjung Malaysia.

Tujuan kajian tersebut adalah untuk meningkatkan kadar penetasan telur-telur penyu melebihi 80 peratus dan menghasilkan anak-anak penyu yang sihat supaya selamat untuk dilepaskan ke laut.

Pemantauan Pendaratan Penyu Melalui Aktiviti Penandaan Penyu Menggunakan Inconel Tag

Kajian penandaan penyu adalah amat penting dijalankan untuk mengenal pasti populasi ibu penyu yang mendarat dan bertelur di pantai-pantai pendaratan penyu.

Dan juga untuk mengetahui corak migrasi penyu melalui maklumat yang diperolehi dari negara jiran apabila mereka menjumpai penyu yang telah ditanda tersebut.

Peralatan penandaan yang digunakan adalah inconel tag yang diimport dari Amerika.

Pada tahun 1998, penyelidik Malaysia telah diberi mandat untuk menyeragam nombor siri pada peralatan inconel tag untuk dilaksanakan di semua negara anggota ASEAN.

Misalnya Semenanjung Malaysia menggunakan nombor siri MY, Sabah (MYS), Sarawak (MYSa).

Pemantauan Pendaratan Penyu Melalui Aktiviti Penandaan Penyu Menggunakan mikrocip

Aktiviti penandaan menggunakan microcip adalah satu kaedah baru untuk menanda penyu.

Cip yang dimasukkan dalam tubuh penyu akan kekal untuk tempoh masa yang lama dan boleh dikesan dengan menggunakan peralatan pengimbas dengan merujuk kepada nombor siri pada cip tersebut.

Kos untuk melaksanakan kaedah penandaan cip agak mahal berbanding dengan mikrocip

Di Malaysia penandaan penyu menggunakan mikrocip hanya di laksanakan di pantai Mak Kepit (Pulau Redang, Terengganu) sahaja.

Kajian migrasi penyu menggunakan teknologi satelit

Malaysia adalah negara pertama di rantau Asia Tenggara yang melaksanakan kajian satelit telemetri ke atas penyu.

Kajian tersebut telah dijalankan pada bulan Ogos 1991 ke atas ibu penyu belimbing di Rantau Abang, Terengganu.

Kemudian kajian tersebut telah dijalankan pada spesies-spesies penyu agar dan karah di Terengganu, Pulau Tioman, Melaka dan Pulau Pinang.

Tujuan kajian ini adalah untuk

(i) menentukan laluan migrasi ibu penyu dari pantai pendaratan,

(ii) untuk menentukan lokasi pemakanan penyu di laut (foraging habitat)

(iii) untuk menentukan jangka masa seekor ibu penyu untuk kembali semula ke pantai pendaratan (inter-breeding period)

(iv) untuk menentukan lokasi inter-nesting habitat dan

(V) untuk menentukan jangkamasa inter-nesting period

Kajian Genetik Populasi Penyu Agar Di Rantau Asia Tenggara

Tujuan kajian adalah untuk mengenalpasti stok populasi ibu penyu agar yang mendarat dan bertelur di pantai-pantai pendaratan penyu di rantau Asia Tenggara.

Sebanyak 15 lokasi pendaratan penyu agar telah dipilih bagi persampelan tisu untuk kajian tersebut.

Kajian Kesan Suhu Ke Atas Kadar Penetasan dan Penentuan Jantina Anak Penyu Agar (Chelonia mydas)

Tujuan kajian ini adalah, untuk menentukan nilai suhu yang sesuai bagi menghasilkan peratus penetasan anak penyu yang tinggi dan untuk menentukan nilai suhu yang sesuai bagi menghasilkan jantina anak.

Kajian Pemeliharaan Penyu Dalam Takungan

Tujuan kajian adalah untuk mengenalpasti teknik terbaik dan parameter yang sesuai bagi memelihara penyu dalam takungan.

Pelan Tindakan Kebangsaan Bagi Pengurusan dan Pemuliharaan Penyu (NPOA of Sea Turtles)

NPOA of Sea Turtles telah dilancarkan/diterbitkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia pada bulan November 2007 melibatkan 16 keutamaan.

- UTUSAN

No comments:

Post a Comment

Share pengalaman anda di lokasi ini..

Related Posts with Thumbnails