Monday, August 16, 2010

Penyu kembali ke Rantau Abang

Penyu kembali ke Rantau Abang

RANTAU ABANG – Penantian seorang pemajak telur penyu untuk melihat sekumpulan anak penyu yang pernah dilepaskan olehnya lebih 30 tahun dahulu pulang semula menjadi kenyataan, apabila reptilia lindungan itu kembali mendarat di Pantai Rantau Abang, dekat sini, malam kelmarin.

Peristiwa bersejarah yang disaksikan penduduk tempatan dan beberapa Pegawai Jabatan Perikanan serta Pusat Kajian Penyu Rantau Abang itu turut disaksikan beberapa pelancong asing.

Berkongsi pengalaman, Mat Nor Hamid, 73, yang pernah menjadi pemajak telur penyu di Pantau Rantau Abang lebih 15 tahun bermula awal 70-an hingga lewat 80-an berkata, dia dapat mengecam penyu berkenaan adalah antara 3,000 anak penyu yang pernah dilepaskannya bersama Jabatan Perikanan pada 1974 berdasarkan tag pada bahagian kaki serta ekor spesies penyu yang sedang mengalami kepupusan itu.

“Saya terharu apabila melihat binatang lindungan ini kembali ke pangkuan kami.

“Penyu ibarat anak saya sendiri. Saya yakin penyu masih ada, cuma agak berkurangan. Jadi sama-samalah kita pelihara khazanah kita, terutama jaga kebersihan pantai serta kawal aktiviti perikanan agar tidak menjejaskan habitat penyu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pusat Penyelidikan Perikanan Rantau Abang, Syed Abdullah Syed Abdul Kadir yang mengesahkan perkara berkenaan berkata, penyu belimbing itu dianggarkan berusia 30 tahun.

Katanya, penyu berukuran 1.45 meter lebar dan 1.16 meter panjang itu adalah antara 3,000 penyu yang pernah dilepaskan di Pantai Rantau Abang pada 1974 berdasarkan tag yang masih terdapat pada badannya.

“Seekor penyu boleh menjangkau hayat sehingga 81 tahun dan berat melebihi 500 kilogram, jadi penyu belimbing yang mendarat di sini malam semalam dijangka boleh hidup lebih daripada 40 tahun lagi jika keadaan kesihatannya sempurna dan tiada gangguan terhadap habitatnya,” katanya.
Related Posts with Thumbnails