Kenali Terengganu

Asal Usul Nama Terengganu  

Terdapat beberapa cerita yang dikaitkan dengan negeri Terengganu. Nama Terengganu itu dikaitkan dengan "Terangnya ganu", "Taring anu" dan "Terengan nu". Kisah asal nama Terengganu ini melibatkan penduduk luar Terengganu iaitu penduduk Kelantan dan Pahang. "Terengnya ganu" ini dikaitkan pula dengan peristiwa beberapa orang pelayar Kelantan tiba di Kuala yang kini dipanggil Kuala Terengganu melihat pelangi dilangit. Mereka pun menyatakan "Teren sungguh ganu di sini". Apabila pulang ke Kelantan mereka menyatakan di negeri jiran sungguh "terang ganunya".
Sementara itu "Taring anu" dikatakan berasal daripada cerita yang dikisahkan oleh Sultan Terengganu yang kesembilan, Baginda Omar (1839 - 1876). Sebelum wujud nama negeri Terengganu, satu rombongan Pahang datang memburu di kawasan hulu. Apabila mereka tiba di satu tempat ( kini dikenali dengan Sungai Terengganu Mati ), salah seorang daripada rombongan itu terjumpa sebatang taring. Beliau pun bertanya kepada temannya, taring apa? Salah seorang daripadanya menyatakan "taring anu" kerana dia tidak dapat mengingatkan nama taring tersebut. Tidak lama kemudian, diantara mereka dapat memburu seekor rusa. Apabila dibawa pulang ke tempat mereka berkhemah, salah seorang daripada mereka bertanya tempat rusa itu diburu. Mereka yang berkenaan menyatakan berburu di "Taring anu". Begitu juga apabila membawa pulang kayu gaharu dan ditanya tempatnya, mereka menyatakan di "Taring anu". Lama kelamaan dikenali dengan Terengganu.

Sebuah kisah lagi berkait dengan salah sebuah sungai yang bernama Sungai Terengan. Dipercayai pada zaman silam sudah ada penduduk di sini. Mereka berulang-alik menggunakan kedua-dua sungai ini. Jika mereka bertolak dari Kuala Terengan, mereka akan menggunakan sama ada Sungai Terengan atau Sungai Kerbat. Jika ada di antara mereka bertanya hendak ke mana, mereka akan jawab sama ada ke "Terengan ni" atau "Terengan nu". Dengan itu lama kelamaan muncullah Terengganu.

Kedatangan Islam

Setakat ini tidak dapat dipastikan tarikh atau tahun dari mana kedatangan Islam ke Terengganu. Namun begitu pada Batu Bersurat Terengganu tercatat tahun Hijrah 702, bersamaan 1303. Tahun ini disetujui setakat ini tercatat di Batu Bersurat dan bukan bermakna Islam bermula di Terengganu pada tahun tersebut. Dengan itu bermakna Agama Islam telah bertapak di Terengganu sebelum tahun 1303. Perkembagan Islam di Terengganu sebelum tahun tersebut membolehkan penulis Batu Bersurat menulis jawi dan golongan tertentu di Terengganu boleh membaca jawi. Satu perkara yang menarik di sini, Terengganu adalah negeri terawal di Malaysia mengkanunkan undang-undang Islam.

Dalam pada itu terdapat bukti pada kurun ke-16, Sharif Muhammad Al-Baghdadi sudah berada di Kuala Berang. Kehadiran beliau ini sudah pasti ada kaitan dengan Agama Islam dan perdagangan. Beliau meninggal dunia di Batu Belah, Kuala Berang. Keturunan beliau, Abdul Malik bin Abdullah ( dikenali sebagai Tuk Pulau Manis ) meneruskan kegiatan keagamaan di Terengganu. Setelah kira-kira 10 tahun menuntut di Mekah dan Madinah, disekitar tahun 1690 Abdul Malik pulang ke Terengganu dan mengajar ilmu agama di Kuala Berang.

Kedudukan Geografi dan Penduduk

Terengganu Darul Iman adalah salah sebuah negeri yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Terletak di antara garisan bujur 102.25’ dengan 103.50’ dan garisan lintang 4 hingga 5.50’. Di bahagian selatan dan barat daya pula bersempadan dengan Pahang.
Berkeluasan kira-kira 1,295,638.3 hektar / 1,295,512.1 hektar. Jaluran pantainya menganjur sejauh 225 km dari Besut ke Kemaman. Sebelum tahun 1947 terdapat sembilan daerah di Terengganu; Kuala Terengganu, Kemaman, Kemasik, Paka, Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu dan dikurangkan kepada enam: Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun, Marang, Hulu Terengganu danBesut. Pada 1 Januari 1985, sebuah daerah baru iaitu Setiu telah dibentuk dan menjadi daerah ketujuh di Negeri Terengganu.
Tiap-tiap daerah ini ditadbirkan oleh Pegawai Daerah. Keluasan daerah tersebut adalah :
  • Kuala Terengganu : 60,654.3 hektar;
  • Kemaman : 253,559.9 hektar;
  • Dungun : 273,503.1 hektar;
  • Marang : 66,654.3 hektar;
  • Hulu Terengganu : 387,463.6 hektar;
  • Setiu : 130,436.3 hektar
  • Besut : 123,367.8 hektar.
Penduduk Terengganu bertambah dari setahun ke setahun. Pada tahun 1912 penduduk Terengganu berjumlah 153,765 orang dan jumlahnya terus meningkat pada tahun 1990 ke angka 756,300 orang. Kini (1998) penduduk Terengganu kira-kira 1 juta orang. Daripada jumlah ini 90 peratus adalah kaum Melayu dan bakinya terdiri daripada kaum Cina dan India.
Ibu negeri Terengganu ialah Kuala Terengganu. Kegiatan utama ekonomi negeri Terengganu ialah perikanan dan hasil petroleum pula menguatkan lagi ekonomi negeri Terengganu.

Kesultanan Sultan Teregganu

  • 1708 - 1733: Tun Zainal Abidin
  • 1733 - 1794: Sultan Mansur I
  • 1794 - 1808: Sultan Zainal Abidin II
  • 1808 - 1830: Sultan Ahmad
  • 1830: Sultan Abdul Rahman
  • 1830 - 1831: Sultan Daud
  • 1831 - 1837: Sultan Mansur II
  • 1837 - 1839: Sultan Muhammad
  • 1839 - 1876: Baginda Omar
  • 1876 - 1881: Sultan Ahmad Shah II
  • 1881 - 1918: Sultan Zainal Abidin III, putera Sultan Ahmad Shah II ;
  • 1918 - 1920: Sultan Muhammad Shah II
  • 1920 - 1942: Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah
  • 1942 - 1945: Tengku Ali
  • 1945 - 1979: Sultan Ismail Nasaruddin Shah
  • 1979 - 1998: Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah
  • 1998 - kini: Sultan Mizan Zainal Abidin
Pengasas Kesultanan Terengganu hari ini ialah Sultan Zainal Abidin 1. Baginda ialah putera Tun Habib Abdul Majid (Bendahara Padang Saujana). Mengikut buku Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk (Raja Tua) di atas perintah Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Sumber yang lain menyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas takhta kerajaan Terengganu oleh Phra Nang Chau Yang, Raja Patani.

Mengikut Hikayat Johor Serta Pahang, Tun Zainal Abidin datang ke Patani setelah Paduka Raja Laksamana Wan Abdul Rahman dibunuh di Terengganu disekitar tahun 1688. Ketika berada di Patani, Tun Zainal Abidin dijadikan anak angkat oleh Raja Patani, Phra Nang Chau Yang.

Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708, berdasarkan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin 1 tidak lama bersemayam di Tanjung Baru, Kuala Berang, berpindah ke Kota Batang Mahang, Langgar dan Pulau Manis. Kemudian berpindah lagi ke Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan akhirnya di kawasan berhampiran Bukit Keledang (Kota Lama).

Sultan Zainal Abidin 1 digantikan oleh putera baginda, Ku Tana Mansur (Sultan Mansur I) pada tahun 1733, ketika berusia 7 tahun. Baginda memerintah Terengganu sehingga tahun 1794. Pada tahun 1739, Sultan Mansur Shah 1 berkahwin dengan Raja Bulang, anak Daeng Chelak, Yamtuan Muda Johor kedua. Berikutnya berkahwin pula dengan Raja Bakul, putera Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Ketika menduduki takhta kerajaan Terengganu, Sultan Mansur 1 telah menghabiskan empat belas tahun (1746 - 1760) daripada masa pemerintahannya di Riau, terlibat dalam persaingan di antara orang Melayu dengan orang Bugis. Apabila pulang ke Terengganu pada 1760, baginda terlibat pula dalam politik Kelantan membantu Long Yunus (Yang DiPertuan Kelantan), putera Long Sulaiman ibni Long Bahar menduduki takhta kerajaan Kelantan pada tahun 1776.

Sultan Mansur digantikan oleh putera baginda Sultan Zainal Abidin II (1794 - 1808). Pada masa pemerintahan baginda, berlaku peperangan dengan Kelantan yang dipimpin oleh Long Muhammad ibni Long Yunus, Raja Kelantan. Terengganu dikalahkan dan seterusnya Kelantan berjaya membebaskan diri daripada naungan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad (1808 - 1830), Sultan Abdul Rahman (1830), Sultan Daud (1830-1831), Sultan Mansur II (1831 - 1837), Sultan Muhammad (1837 - 1839), Baginda Omar (1839 - 1876). Baginda Omar pernah menduduki takhta kerajaan Terengganu pada tahu 1831 menggantikan Sultan Daud. Tetapi baginda diturunkan dari takhta kerajaan oleh Tengku Mansur dan seterusnya sebagai Sultan Mansur II. Sultan Mansur II digantikan oleh putera baginda, Sultan Muhammad. Pada tahun 1839, Baginda Omar berjaya mengalahkan Sultan Muhammad dan seterusnya menduduki takhta kerajaan Terengganu. Ketika pemerintahan baginda, Terengganu berkembang maju.
Apabila Baginda Omar mangkat, takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad Shah II (1876 - 1881). Sultan Ahmad Shah pula digantikan oleh putera baginda, Sultan Zainal Abidin III (1881 - 1918). Ketika pemerintahan baginda, British beberapa kali cuba melibatkan diri dalam kerajaan Terengganu. Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III meluluskan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu yang di antara lain menyatakan Sultan Yang DiPertuan Besar Terengganu memiliki kuasa kerajaan dan jajahan serta adalah ketua tertinggi kerajaan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan digantikan oleh Sultan Muhammad Shah II (1918 - 1920) dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920 - 1942).

Menurut Warta Cahaya Timor No.38 bertarikh 29 September 1942, apabila Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah telah mangkat pada 26 September 1942, Tengku Ali, yang dirujuk sebagai putera sulong baginda telah dilantik sebagai "Pemangku Sultan Sementara" oleh pihak pentadbiran Jepun pada 29 September 1942. Seterusnya Tengku Ali telah diberikan gelaran "Sultan" pada 30 September 1942 oleh Gabenor Jepun. Walau bagaimanapun perlantikan ini dinyatakan tidak menurut Undang-Undang Diri Bagi Negeri Terengganu 1911.
Tengku Sri Paduka Raja, Tengku Ismail diisythiarkan sebagai Sultan Terengganu pada 16 Disember 1945.

Baginda seterusnya ditabalkan pada tahun 1949 dengan gelaran Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Sultan Ismail Nasiruddin dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke-6 dari 21 September 1965 hingga 20 September 1970. Dalam tempoh itu Duli Yang Amat Mulia Tengku Mahmud dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu. Apabila Sultan Ismail Nasiruddin Shah mangkat pada tahun 1979, takhta kerajaan digantikan oleh putera baginda, Duli Yang Teramat Mulia Yang DiPertuan Muda Tengku Mahmud. Baginda menduduki takhta kerajaan Terengganu dengan gelaran Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Sultan Mahmud mangkat pada 15 Mei 1998 di Singapura. Dengan itu, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Yang DiPertuan Muda Tengku Mizan.

Menghadapi Kuasa Asing

Menghadapi Kuasa Siam
Kerajaan Siam menuntut Terengganu sebagai naungannya. Bunga Emas dan Bunga Perak yang dihantar oleh Terengganu setiap 3 tahun sekali dijadikan bukti kuasa Siam ke atas Terengganu. Padahal Bunga Emas pertama kali dihantar pada tahun 1781, di masa pemerintahan Sultan Mansur Shah I sebagai tanda balasan hadiah yang diberikan oleh angkatan Siam kerana membantu angkatan Siam menyerang dan mengalahkan Legor pada tahun 1766.

Sultan Zainal Abidin III (1881-1918) menjelaskan kepada Gabenor Sir Frederick Weld yang datang melawat pada tahun 1886 dan 1887, Bunga Emas yang dihantar ke Siam hanya sebagai tanda persahabatan dan bukannya sebagai ufti. Oleh kerana dakwaan Inggeris yang mempunyai hak ke atas Terengganu, kerajaan Siam telah menyerahkan Terengganu kepada Great Britain melalui Perjanjian Bangkok 1909.

Namun begitu kerajaan Terengganu di bawah Sultan Zainal Abidin III menolak perjanjian ini. Dengan ituperjanjian di antara Terengganu dengan Great Britain ditandatangani pada tahun 1910. Di antara syarat perjanjian ini, Terengganu menerima wakil British.

Menghadapi Kuasa British
Pada tahun 1862, angkatan British di bawah Kolonel R. Macpherson membedil Kuala Terengganu kerana mengesyaki Terengganu memberi bantuan kepada Wan Ahmad menentang abangnya Bendahara Wan Mutahir Pahang pada tahun 1857-1863. Hasrat British campur tangan di Terengganu akhirnya tercapai melalui Perjanjian Bangkok yang ditandatangani oleh Kerajaan Siam dan Great Britain pada 10 Mac 1909.

Dengan berkuatkuasa perjanjian ini, Kerajaan Siam menyerahkan Terengganu kepada British.
W.L. Conlay dilantik sebagai Ejen British yang pertama di Terengganu. Sultan Zainal Abidin III menolak perjanjian ini dan tidak menerima perlantikan W.L. Conlay. Pertelingkahan Perjanjian Bangkok 1909 akhirnya selesai apabila Terengganu bersetuju menandatangani perjanjian dengan Great Britain pada 22 April 1910. Dengan berkuatkuasa Perjanjian ini, Terengganu menerima secara rasminya perlantikan Ejen British.

Walaupun demikian, Ejen British tidak mempunyai kuasa di dalam pentadbiran negeri Melayu Islam yang bebas. Pada tahun 1911, Kerajaan Terengganu meluluskan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu yang menyatakan Terengganu adalah negeri Melayu dan Islam.

British yang tidak puas hati dengan kedudukannya di Terengganu terus menjalankan usaha untuk terlibat dalam pentadbiran Terengganu. Akhirnya pada 24 Mei 1919, British berjaya melalui perjanjian yang ditandatangani oleh Sultan Muhammad menggantikan ayahandanya, Sultan Zainal Abidin III. Berkuatkuasa perjanjian ini, Terengganu buat pertama kalinya menerima Penasihat British. Dalam artikel 11 Perjanjian ini dicatatkan bahawa Sultan Terengganu akan menerima Penasihat British, menyediakan tempat kediaman di Terengganu dan nasihatnya hendaklah diminta serta diikut dalam semua perkara pentadbiran kecuali Agama Islam.

Tentangan Terhadap British
Penglibatan British dalam pentadbiran Terengganu dan diikuti dengan pengenalan peraturan baru membangkitkan tentangan pada tahun 1922, 1925 dan 1928. Gerakan tentangan ini dipimpin oleh Haji Abdul Rahman bin Abdul Hamid ( lebih dikenali sebagai Haji Abdul Rahman Limbong ) dan disokong oleh penduduk Terengganu. Mereka yang terlibat dalam tentangan ini menyifatkan British dan segala peraturan baru yang diperkenal dan dikuatkuasakan selepas British campur tangan dalam pentadbiran Terengganu adalah peraturan kafir.

Haji Abdul Rahman Limbong telah dibawa ke muka pengandilan, Beliau didapati bersalah bersabit dengan menyebarkan ajaran sehingga mencetuskan kebangkitan 1928. Di atas nasihat Dato' Seri Amar Di Raja Haji Ngah Muhammad, beliau dijatuhkan hukuman buang negeri ke Mekah. Haji Abdul Rahman Limbong meninggal dunia kerana sakit di Mekah pada 6 November 1929.


Kesedaran dan Perjuangan Kemerdekaan

Terengganu juga tidak ketinggalan dalam gerakan kesedaran perjuangan kemerdekaan. Pada Mei 1937, Kesatuan Melayu Muda ( KMM ) ditubuhkan di daftarkan pada Ogos 1938, dibawah pimpinan Ibrahim Haji Yaacob.

Matlamat perjuangan KMM ialah melahirkan semangat kebangsaan orang Melayu daripada diperas dan membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah dan bergabung dengan Indonesia untuk mewujudkan "Melayu Raya" atau "Indonesia Raya". Kempen yang dilakukan oleh Presiden KMM, Ibrahim Haji Yaacob di sekitar tahun 1940-1941 keseluruh Tanah Melayu telah berjaya menubuhkan cawangan KMM di Terengganu.

Pertemuan Ibrahim Haji Yaacob dengan beberapa orang pemuda di Grand Hotel, Kuala Terengganu membawa kepada penubuhan KMM. KMM cawangan Terengganu diketuai oleh Wan Daud Ahmad; Setiausahanya pula Ibrahim bin Muhammad ( Ibrahim Fikri ). Di antara tokoh lain yang terlibat dalam pengasasan KMM di Terengganu ialah Muda Jalil, Ibrahim Sulaiman, Muda Kassim, Muda Rahim dan Zakaria Arshad. Wan Daud Ahmad ialah bekas pelajar Sekolah Inggeris Sultan Sulaiman dan Sekolah Arab Zainal Abidin. Ibrahim Fikri pula ialah bekas pelajar Sekolah Zainal Abidin.

Kemudiannya KMM berkembang di daerah Besut. Di antara mereka yang terlibat dalam pembentukan KMM Besut ialah Mohammed Senari Yunus, Ibrahim bin Ismail dan Sheikh Ali bin Mohamed.
Pada tahun 1940 beberapa orang pemimpin KMM, Ibrahim Haji Yaacob, Ishak Haji Muhammad, Hassan bin Manan, Ahmad Boestaman dan Isa Mohd bin Mahmud ditahan oleh British kerana disyaki merancang pakatan menentang British dan bekerjasama dengan pihak Jepun. Namun demikian, pemimpin KMM Terengganu seperti Ibrahim Fikri dan Wan Daud Ahmad tidak ditahan. Apabila Jepun menguasai Tanah Melayu, KMM yang sedang berkembang dibubarkan pada tahun 1942. Berikutnya pemimpin KMM terlibat dalam Pembela Tanah Air ( PETA ), dibawah pimpinan Ibrahim Haji Yaacob. PETA Terengganu pula dipimpin oleh Ibrahim Fikri. Dalam gerakannya Ibrahim Fikri mendapat sokongan daripada Haji Muhammad Salleh bin Awang.

Pada tahun 1942-1945, Terengganu mengalami pendudukan Jepun. Dalam jangka masa ini Terengganu ditadbirkan oleh Tentera Jepun, 1942-1943 dan Pentadbiran Tentera Thai, 1943-1945. Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dikekalkan di atas takhta kerajaan Terengganu. Pada 18 Mac 1942, Manabu Kuji tiba di Kuala Terengganu untuk memegang jawatan Syuciji (Gabenor). Dengan mengekalkan bidang kuasa Sultan dalam hal yang berkaitan dengan agama, pentadbiran tentera Jepun membentuk pentadbiran Terengganu berasaskan kepada empat pejabat; Pejabat Cuji Keimu-bu (Pejabat khas untuk Tuan Syuciji Terengganu), Pejabat Somu-bu (Pejabat Am), Pejabat Zaimu-bu (Pejabat Khazanah) dan Pejabat Sangyo-bu (Pejabat perniagaan) serta Pejabat Kotsu-bu (Pejabat Pengangkutan).

Dalam tahun 1943, pentadbiran tentera Jepun memindahkan pentadbiran Terengganu kepada kerajaan Thai. Pada 15 Oktober 1943, Gabenor dan pegawai-pegawai Thai tiba di Terengganu untuk mengambil alih teraju pentadbiran. Negeri Terengganu diserahkan oleh Kerajaan Dai Nippon kepada Kerajaan Thai pada pukul 11:50 pagi, 18 Oktober 1943. Pentadbiran Thai di Terengganu berakhir setelah Jepun menyerah kalah kepada pihak Berikat pada 15 Ogos 1945. Dengan itu pada tahun 1945, Terengganu diletakkan di bawah Region 8, di bahawa pentadbiran Pegawai Kanan Hal Ehwal Awam ( Senior Civil Affairs Officer ) Terengganu, yang disandang oleh Leftenan Kolonel D. Headley.

Sementara itu Kerajaan British sedang berusaha untuk memperkenalkan Malayan Union di tanah Melayu. Pada 17 Oktober 1945, Parti Kebangsaan Melayu Malaya ( PKMM ) ditubuhkan di Ipoh, Perak oleh sekumpulan yang terlibat dalam perjuangan KMM. Cawangan PKMM merebak ke seluruh Tanah Melayu termasuk Terengganu. PKMM cawangan Kuala Terngganu
ditubuhkan di Chabang Tiga oleh Awang bin Ali dan Haji Abdul Latif. Ibrahim Fikri menyertai PKMM setelah dibebaskan daripada tahanan pada April 1946. Beliau dilantik menganggotai Majlis Tertingggi Kerja PKMM. Cawangan PKMM berkembang di Terengganu, antaranya di Dungun dan Besut. Cawangan PKMM Kampung Raja, Besut ditubuhkan pada akhir 1945. Mereka yang terlibat ialah Wan Ahmad sebagai Yang DiPertua, Salleh bin Muhammad sebagai setiausaha dan Haji Taib bin Abdullah sebagai Bendahari.
Cawangan PKMM Jertih ditubuhkan pada tahun 1946 oleh Ibrahim Ismail dan beberapa orang rakannya seperti A. Rahman bin Muhammad, Mohd Daud bin Samad dan Mohd Noor bin Awang; di Kuala Besut ditubuhkan pada tahun 1947 oleh Yusof bin Embong, Mohd Senari Yunos, Wan Hasan bin Muda dan Mohd Noor bin Ismail . PKMM juga ditubuhkan di Kemaman pada tahun 1946, dipimpin oleh Wan Yahya bin Haji Wan Muhammad.

Pada tahun 1946, kerajaan British mengambil keputusan memperkenalkan Malayan Union. Pengenalan MU mendapat bantahan daripada masyarakat Melayu. Tentangan ini pula berkisar di sekitar masalah kerakyatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu. Akhbar Utusan Melayu dan Majlis turut memainkan peranan menentang Malayan Union. Pada 24 Januari 1946, Onn bin Jaafar melalui akhbar Majlis menggesa supaya orang Melayu mengadakan kongres seTanah Melayu. Dalam Kongres Ketiga yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman pada 1 April 1946 beberapa orang telah dipilih untuk menggubal perlembagaan bagi United Malays National Organisation ( UMNO ). Akhirnya dalam perjumpaan 11 Mei 1946 yang berlangsung di Johor Bharu pada 11 - 12 Mei 1946, UMNO dengan rasminya dilahirkan dengan Onn Jaafar menjadi Presiden yang pertama.
Berikutnya cawangan UMNO ditubuhkan di negeri-negeri di Tanah Melayu; termasuk Terengganu. Menyedari adanya tentangan maka Kerajaan British mengambil sikap berunding dengan orang-orang Melayu untuk merangka Perlembagaan baru.

Sultan Ismail Nasiruddin Shah menurunkan tandatangan ke atas Perjanjiann Persekutuan pada 21 Januari 1948. Pada 6 Jun 1949 Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Tengku Ampuan ditabalkan. Kini Terengganu bersama-sama negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu menuju ke arah berkerajaan sendiri. Pada 30 September 1952, Menteri Besar Terengganu mengumumkan di dalam Majlis Mesyuarat Negeri, pilihan wakil Majlis Perbandaran Kuala Terengganu diadakan pada tahun 1953. Pilihan raya ini adalah berdasarkan kepada Local Authority and Local Council Election Ordinance yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan ( Federal Legislative Council ) pada 28 September 1950 dan 3 Julai 1952. Kawasan pilihanraya Majlis Perbandaran ini diwartakan dalam Warta Kerajaan pada 21 Januari 1953. Tiga kerusi diperuntukkan dalam pilihanraya ini; Kuala, Ladang dan Bukit Besar. Ketiga-tiga kerusi ini dimenangi oleh calon Perikatan.

Perkembangan ke arah berkerajaan sendiri terus berjalan. Pada 7 september 1954, pengisytiharan mengenai pilihanraya bagi negeri dibuat. Pengisytiharan ini dibuat oleh Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan ditandatangani oleh Menteri Besar Terengganu, Encik Kamaruddin Idris. Pilihan raya tersebut akan diadakan pada 29 Oktober 1954. Terengganu memperuntukkan 15 kawasan untuk pilihan raya tersebut. Lima belas kawasan tersebut ialah Kuala Besut, Hulu Besut, Setiu, Bandar Kuala Terengganu, Ladang., Bukit Besar, Kuala Terengganu Utara, Kuala Terengganu Barat, Kuala Terengganu Tengah, Kuala Terengganu Selatan, Hulu Terengganu, Marang, Dungun, Paka-Kemaman Utara dan Kemaman Selatan.

Ketika penamaan calon, dua calon Perikatan menang tanpa bertanding di kawasan Paka-Kemaman Utara. Pilihan raya ini adalah pertama kali di Pantai Timur dan kedua selepas Johor di Persekutuan Tanah Melayu. Dalam pilihan raya ini, pengundi datang mendaftar sebagai pemilih dan terus mengundi pada hari yang sama. Baki kerusi sebanyak 13 ditandingi oleh 14 calon Perikatan dan 10 calon Negara dan 9 calon bebas. Dalam pilihan raya tersebut Parti Perikatan memenangi semua kerusi yang dipertandingkan.

Kemudiannya ketetapan telah dibuat untuk mengadakan pilihan raya Persekutuan pada tahun 1955. Seperti juga negeri-negeri lain di Tanah Melayu, Terengganu juga membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya tersebut. Tiga kawasan iaitu Terengganu Utara, Terengganu Tengah dan Terengganu Selatan akan dipertandingkan. UMNO Terengganu dikehendaki mengemukakan calon untuk bertanding dalam pilihan raya itu. Mereka yang dipilih ialah Dato' Perwira Negara Haji Ali bin Long, Che Ibrahim Fikri dan Wan Yahya bin Mohamed. Kemudiannya Dato' Perwira Negara Haji Ali bin Long menarik diri daripada menjadi calon pilihan raya Persekutuan 1955. Dengan itu Jawatankuasa Perhubungan UMNO Terengganu bersidang sekali lagi pada 25 Mac 1955 dan sebulat suara bersetuju mencalonkan Engku Mohsein bin Abdul Kadir sebagai ganti calon dalam kawasan Terengganu Tengah. Che Ibrahim Fikri, calon UMNO bertanding di kawasan Terengganu Tengah menentang calon Parti Negara, Encik Sulaiman bin Ali. Wan Yahya bin Haji Wan Mohamed, calon UMNO pula menentang Ibrahim bin Mat Noh, Parti Negara di kawasan Terengganu Selatan.

Dalam pilihan raya yang berlangsung pada 27 Julai 1955 di tiga kawasan, Terengganu Utara, Terengganu Tengah dan Terengganu Selatan, Parti Perikatan berjaya mengalahkan calon Parti Negara. Dalam pilihan raya ini 52 kerusi dipertandingkan di seluruh Tanah Melayu. Parti Perikatan memenangi 51 kerusi dan hanya 1 kerusi sahaja dimenangi oleh Parti Islam Se Malaysia ( PAS ) di kawasan Kerian, Perak.

Kini Parti Perikatan membentuk kerajaan mentadbir Persekutuan Tanah Melayu. Sementara itu rundingan kemerdekaan diteruskan sehinggalah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Sumber: Web Istana Terengganu
Related Posts with Thumbnails