Selamat datang ke Terengganu
Thursday, April 17, 2014
Friday, February 17, 2012
Monday, August 16, 2010
Penyu kembali ke Rantau Abang
RANTAU ABANG – Penantian seorang pemajak telur penyu untuk melihat sekumpulan anak penyu yang pernah dilepaskan olehnya lebih 30 tahun dahulu pulang semula menjadi kenyataan, apabila reptilia lindungan itu kembali mendarat di Pantai Rantau Abang, dekat sini, malam kelmarin.
Peristiwa bersejarah yang disaksikan penduduk tempatan dan beberapa Pegawai Jabatan Perikanan serta Pusat Kajian Penyu Rantau Abang itu turut disaksikan beberapa pelancong asing.
Berkongsi pengalaman, Mat Nor Hamid, 73, yang pernah menjadi pemajak telur penyu di Pantau Rantau Abang lebih 15 tahun bermula awal 70-an hingga lewat 80-an berkata, dia dapat mengecam penyu berkenaan adalah antara 3,000 anak penyu yang pernah dilepaskannya bersama Jabatan Perikanan pada 1974 berdasarkan tag pada bahagian kaki serta ekor spesies penyu yang sedang mengalami kepupusan itu.
“Saya terharu apabila melihat binatang lindungan ini kembali ke pangkuan kami.
“Penyu ibarat anak saya sendiri. Saya yakin penyu masih ada, cuma agak berkurangan. Jadi sama-samalah kita pelihara khazanah kita, terutama jaga kebersihan pantai serta kawal aktiviti perikanan agar tidak menjejaskan habitat penyu,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pusat Penyelidikan Perikanan Rantau Abang, Syed Abdullah Syed Abdul Kadir yang mengesahkan perkara berkenaan berkata, penyu belimbing itu dianggarkan berusia 30 tahun.
Katanya, penyu berukuran 1.45 meter lebar dan 1.16 meter panjang itu adalah antara 3,000 penyu yang pernah dilepaskan di Pantai Rantau Abang pada 1974 berdasarkan tag yang masih terdapat pada badannya.
“Seekor penyu boleh menjangkau hayat sehingga 81 tahun dan berat melebihi 500 kilogram, jadi penyu belimbing yang mendarat di sini malam semalam dijangka boleh hidup lebih daripada 40 tahun lagi jika keadaan kesihatannya sempurna dan tiada gangguan terhadap habitatnya,” katanya.
Wednesday, June 30, 2010
Kemaman; Lebai Saris di Hukum Sula
Sejarah Kemaman
Kemaman sudah mula dikenali semenjak kurun ke dua sebelum masihi. Berdasarkan peta semenanjung tanah melayu oleh ptolemy yang mencatatkan dua buah pelabuhan di pantai timur iaitu primula (Kuala Terengganu) dan kole (Kemaman)
Che Wan Teh.. Bangsawan Pahang ke Kemaman
Dari segi sejarah tempatan, Daerah Kemaman mula di terokai kira-kira 300 tahun yang lalu oleh Che Wan Teh iaitu bangsawan Pahang yang Berhijrah dari Kuala Pahang berikuyan kekacauan dan huru hara di sana.
Beliau telah membuka penempatan pertama di kawasan pantai di Kampung Bukit Mengkuang. Setelah itu, Che Wan Teh telah berpindah dan membuka Perkampungan di Tanjung Geliga. Walau bagaimanapun, Penempatan baru ini sering di ancam lanun dan perompak yang menyebabkan Che Wan Teh dan pengikutnya telah sekali lagi berpindah dan meneroka kawasan baru di Kampung Cukai.
Asal Usul Kemaman
Pembukaan Daerah Kemaman juga di kaitkan dengan Bangsawan Pattani yang di kenali sebagai Lebai Saris pada awal abad ke-19 semasa Terengganu dibawah pemerintahan Sultan Ahmad (1808 - 1830). Lebai Saris dan Pengikutnya telah datang ke Kemaman dan meneroka Kawasan penempatan di Kampung Nyor, Lebai Saris juga dikaitkan sebagai orang yang telah memberi perkataan "Kemaman" iaitu gabungan perkataan-perkataan "Kera" dan "Pokok Maman". Tidak dapat dinafikan bahawa Lebai Saris telah memainkan peranan penting dalam Pembukaan Daerah Kemaman secara lebih meluas di antara Kampung Mak Cili, Kampung Mat Lagam, Kampung Pasir Tengku dan Kampung Jabor.
Lebai Saris dihukum Sula
Penduduk Daerah Kemaman telah bertambah dan kekuasaan lebai Saris semakin teserlah. Berikutan itu, timbul fitnah menyatakan Lebai Saris tidak mahu lagi tunduk kepada Yang di Pertuan Terengganu. Oleh itu Sultan Ahmad telah menghantar Engku Kembal untuk melawan kekuatan Lebai Saris yang di ketuai oleh anaknya Abu Bakar . Dengan tipu muslihat, Engku Kembal telah berjaya menewaskan Lebai Saris dan anaknya. Kedua-dua mereka dianggap penderhaka dan di hukum sula dengan suda nipah.
Monday, June 28, 2010
TUMEC Giat Pulihara Penyu
Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC) Rantau Abang, Terengganu adalah agensi di bawah Jabatan Perikanan yang bertanggungjawab melaksanakan aktiviti penyelidikan Penyu di Semenanjung Malaysia.
Di kalangan negara ASEAN, Malaysia telah dilantik sebagai negara peneraju dalam pengurusan dan pemuliharaan penyu.
Menurut Pegawai Projek Penyelidikan Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC), Rantau Abang, Dungun, Terengganu, Syed Abdullah Syed Abdul Kadir, terdapat banyak aktiviti penyelidikan yang telah dijalankan oleh TUMEC.
Katanya, tujuan penyelidikan tersebut adalah untuk menstabil dan meningkatkan populasi penyu di Malaysia melalui dua pendekatan iaitu mengurangkan kematian penyu pada pelbagai peringkat hidup.
''Ia juga bertujuan untuk menghasilkan jumlah anak penyu yang maksimum untuk dilepaskan ke laut,'' katanya.
Berikut merupakan beberapa kajian yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Malaysia atau TUMEC.
Kajian Pengurusan Pusat Penetasan Penyu
Terdapat 15 pusat penetasan penyu di negara ini iaitu Mak Kepit, Ma' Daerah, Rhu Sepuluh, Pulau Perhentian, Rantau Abang, Geliga (Terengganu), Cherating dan Pulau Tioman (Pahang), Padang Kemunting (Melaka), Segari (Perak), dan Pantai Kerachut (Pulau Pinang) dan Air Papan, Pulau Tinggi (Johor), Pulau Penyu (Sabah) dan Pulau Talang-Talang (Sarawak).
Kajian Pengurusan Pusat Penetasan Penyu adalah satu aktiviti kajian yang berterusan yang dijalankan di setiap pusat tersebut di Semenanjung Malaysia.
Tujuan kajian tersebut adalah untuk meningkatkan kadar penetasan telur-telur penyu melebihi 80 peratus dan menghasilkan anak-anak penyu yang sihat supaya selamat untuk dilepaskan ke laut.
Pemantauan Pendaratan Penyu Melalui Aktiviti Penandaan Penyu Menggunakan Inconel Tag
Kajian penandaan penyu adalah amat penting dijalankan untuk mengenal pasti populasi ibu penyu yang mendarat dan bertelur di pantai-pantai pendaratan penyu.
Dan juga untuk mengetahui corak migrasi penyu melalui maklumat yang diperolehi dari negara jiran apabila mereka menjumpai penyu yang telah ditanda tersebut.
Peralatan penandaan yang digunakan adalah inconel tag yang diimport dari Amerika.
Pada tahun 1998, penyelidik Malaysia telah diberi mandat untuk menyeragam nombor siri pada peralatan inconel tag untuk dilaksanakan di semua negara anggota ASEAN.
Misalnya Semenanjung Malaysia menggunakan nombor siri MY, Sabah (MYS), Sarawak (MYSa).
Pemantauan Pendaratan Penyu Melalui Aktiviti Penandaan Penyu Menggunakan mikrocip
Aktiviti penandaan menggunakan microcip adalah satu kaedah baru untuk menanda penyu.
Cip yang dimasukkan dalam tubuh penyu akan kekal untuk tempoh masa yang lama dan boleh dikesan dengan menggunakan peralatan pengimbas dengan merujuk kepada nombor siri pada cip tersebut.
Kos untuk melaksanakan kaedah penandaan cip agak mahal berbanding dengan mikrocip
Di Malaysia penandaan penyu menggunakan mikrocip hanya di laksanakan di pantai Mak Kepit (Pulau Redang, Terengganu) sahaja.
Kajian migrasi penyu menggunakan teknologi satelit
Malaysia adalah negara pertama di rantau Asia Tenggara yang melaksanakan kajian satelit telemetri ke atas penyu.
Kajian tersebut telah dijalankan pada bulan Ogos 1991 ke atas ibu penyu belimbing di Rantau Abang, Terengganu.
Kemudian kajian tersebut telah dijalankan pada spesies-spesies penyu agar dan karah di Terengganu, Pulau Tioman, Melaka dan Pulau Pinang.
Tujuan kajian ini adalah untuk
(i) menentukan laluan migrasi ibu penyu dari pantai pendaratan,
(ii) untuk menentukan lokasi pemakanan penyu di laut (foraging habitat)
(iii) untuk menentukan jangka masa seekor ibu penyu untuk kembali semula ke pantai pendaratan (inter-breeding period)
(iv) untuk menentukan lokasi inter-nesting habitat dan
(V) untuk menentukan jangkamasa inter-nesting period
Kajian Genetik Populasi Penyu Agar Di Rantau Asia Tenggara
Tujuan kajian adalah untuk mengenalpasti stok populasi ibu penyu agar yang mendarat dan bertelur di pantai-pantai pendaratan penyu di rantau Asia Tenggara.
Sebanyak 15 lokasi pendaratan penyu agar telah dipilih bagi persampelan tisu untuk kajian tersebut.
Kajian Kesan Suhu Ke Atas Kadar Penetasan dan Penentuan Jantina Anak Penyu Agar (Chelonia mydas)
Tujuan kajian ini adalah, untuk menentukan nilai suhu yang sesuai bagi menghasilkan peratus penetasan anak penyu yang tinggi dan untuk menentukan nilai suhu yang sesuai bagi menghasilkan jantina anak.
Kajian Pemeliharaan Penyu Dalam Takungan
Tujuan kajian adalah untuk mengenalpasti teknik terbaik dan parameter yang sesuai bagi memelihara penyu dalam takungan.
Pelan Tindakan Kebangsaan Bagi Pengurusan dan Pemuliharaan Penyu (NPOA of Sea Turtles)
NPOA of Sea Turtles telah dilancarkan/diterbitkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia pada bulan November 2007 melibatkan 16 keutamaan.
- UTUSAN
Rantau Abang Disumpah Penyu Batu..
Batu berbentuk penyu (Ibu Penyu) dipercayai sebagai punca hadirnya penyu di Rantau Abang.
Ketika itu biasanya dari bulan Jun hingga Oktober, rutin Pak Nor ialah berjaga hingga ke subuh menanti kehadiran penyu. Adakalanya jumlah penyu yang naik untuk bertelur mencecah 200 ekor setiap malam.
Hari ini, Rantau Abang hanyalah sebuah perkampungan biasa yang sunyi. Kadangkala pemandu yang melalui kawasan tersebut hampir terlupa ia pernah menjadi tumpuan ramai suatu masa dahulu.
Bagi bekas pemungut telur penyu seperti Pak Nor, pendaratan penyu selama ini kononnya dikaitkan dengan kewujudan sebuah batu menyerupai bentuk penyu di atas Bukit Cik Hawa di situ.
Walaupun ada yang menganggapnya sebagai tidak masuk akal, cakap-cakap mengenai ‘hubungan’ batu itu dengan kehadiran penyu tidak pernah dinafikan oleh golongan tua di kampung berkenaan.
Berdasarkan cerita dari mulut ke mulut, seekor penyu gergasi datang dari laut dan naik ke atas bukit tersebut. Ia akhirnya bertukar menjadi batu.
Penyu jantan dalam sungai
“Sejak kecil
Namun, sehingga kini tidak ada siapa tahu bila dan siapa yang menemui batu sepanjang kira-kira 3.5 meter tersebut.
Menurut Pak Nor, tahun 70-an dan 80-an dianggap sebagai kemuncak pendaratan pelbagai spesies penyu seperti agar, belimbing dan lipas di kawasan pantai berkenaan.
Calet dan rumah tumpangan penuh sesak dengan pelancong dari dalam dan luar negara. Mereka ghairah untuk melihat sendiri pelbagai jenis penyu merangkak naik ke pantai dan kemudian membuat lubang untuk bertelur.
“Waktu itu memang meriah, saya sendiri kerja sampingan mengutip telur penyu dengan upah RM100 setiap bulan selain kerja tetap sebagai nelayan,” katanya.
Namun, kerancakan Pak Nor bercerita mengenai penyu terhenti seketika apabila ditanya mengapa kini kehadiran haiwan itu sekadar jadi kenangan di Rantau Abang.
“Ada orang percaya batu penyu itu sudah ‘mati’ dan rosak sebab dulu ramai yang datang melihat dan menyentuhnya. Sesetengah orang menganggap itulah punca penyu sudah tak datang lagi,” katanya.
Ujarnya, sebelum ini batu tersebut berbentuk seakan-akan seekor penyu, namun lama-kelamaan ia mula hilang bentuk ekoran batunya mulai pecah dan diambil orang.
Menurut Pak Nor, sebenarnya ada dua buah batu penyu di Rantau Abang. Satu lagi tertanam di dalam sungai di laluan masuk ke Bukit Cik Hawa tetapi ramai yang tidak menyedarinya.
Ujarnya, walaupun ada usaha pihak tertentu mencari dan menaikkan batu tersebut, sehingga kini ia tidak berhasil, malah lokasi sebenarnya juga menjadi tanda tanya.
“Menurut cerita, batu penyu di dalam sungai itu adalah penyu jantan. Pasangannya ialah batu penyu di atas bukit yang merupakan penyu betina,” katanya.
Pelancong buat maksiat
Selain teori kewujudan batu penyu tersebut, ada juga yang percaya ‘kekotoran’ yang dibawa oleh pelancong ke kawasan itu satu ketika dahulu mengundang padah kepada Rantau Abang.
Menurut seorang penduduk, Hanatrah Seman, 35, sesetengah penduduk percaya penyu enggan menjejakkan kaki ke kawasan itu kerana banyak aktiviti maksiat dan tidak sihat di kawasan itu pada masa itu.
“Dulu ada yang datang berpasangan dan minum arak semasa menginap di kawasan ini. Orang tua ada yang menyalahkan perbuatan tersebut punca kemunduran kawasan ini,” kata pengusaha Kedai Makan Suhana ini.
Ujar Hanatrah, penyu pernah memberi kesenangan kepada keluarganya apabila kedai makan mereka mendapat keuntungan besar berikutan kehadiran pelancong pada musim penyu bertelur.
“Dulu kedai kami dibuka dari pukul 6 pagi sampai 5 pagi keesokannya sebab ramai yang datang untuk melihat penyu bertelur.
“Pada masa itu memang tak menang tangan melayan pelanggan dan boleh dapat sampai RM1,000 sehari. Bayangkan RM1,000 pada masa itu, memang besar nilainya,” katanya.
Menurut Hanatrah yang mewarisi kedai itu daripada orang tuanya, pada masa ini bukan sahaja penyu sudah tidak kelihatan malah sukar untuk mendapat RM100 sehari walaupun berniaga sehari suntuk.
Bagaimanapun, sebagai generasi muda, Hanatrah mempunyai pandangan tersendiri mengenai kemerosotan jumlah penyu dan ia bukan semata-mata akibat ‘sumpahan’ batu penyu.
Baginya pencemaran dan penggunaan pukat oleh nelayan secara berleluasa adalah punca yang menyumbang kepupusan haiwan tersebut
Sumber : Kosmo
Wednesday, June 23, 2010
Marang, Bandar Sotong Besar
Pelbagai cerita dan dongeng dikaitkan dengan asal usul nama daerah Marang ini, di antaranya yang menarik nya ialah dipercayai ianya berasal daripada nama seorang peniaga keturunan Cina yang sangat terkenal pada masa dulu. Peniaga ini dipanggil Ma dan beliau tinggal di kuala sungai. Diceritakan beliau adalah seorang pengusaha hasil laut yang di keringkan seperti ikan dan sotong. Pada masa itu di kediaman beliau di terdapat banyak tempat jemuran hasil -hasil laut tadi yang dipanggil "rang" oleh penduduk tempatan. Dipercayai oleh kerana banyak nya "rang" itu dan terkenal nya pengusaha cina yang bernama Ma tadi maka terbitlah nama Marang yang sehinga kini diguna pakai.